Monday, December 29, 2008

Besarnya jasa Pulapol kepada negara

Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur sehingga kini telah melatih hampir 100,000 pegawai dan kakitangan polis.
Lepasan pusat ini sudah pun atau kini sedang mencurahkan khidmat bakti mereka kepada negara menerusi tanggungjawab memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.
Jasa pusat ini kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat awam serta negara amnya, begitu besar walaupun sejarah perkembangannya dari 1905 mencatat pelbagai peristiwa, halangan dan batasan.
Bermula sekadar berupaya melatih 426 orang, kemampuannya kini terbukti lebih besar apabila berjaya mengeluarkan 76,399 pegawai rendah polis, 9,482 pegawai kanan dan 6,357 konstabel tambahan dalam tempoh 1940 sehingga 2006.
Komandan Pulapol, Senior Asisten Komisioner II Mohd. Amin Abdullah berkata, pernah suatu ketika semasa zaman pendudukan Jepun dalam tahun 1941, jumlah anggota yang berada di Pulapol hanya tinggal lapan orang.
Semua anggota polis yang bertugas ketika itu telah diarahkan untuk melawan kemaraan tentera Jepun di beberapa tempat strategik.
Ketika pengambilan pertamanya selepas pusat ini berpindah dari Pusat Latihan Polis di Jalan Bluff (Jalan Bukit Aman), latihan dilakukan dalam tempoh yang amat singkat bagi menghalang kemaraan tentera Jepun.
Kemudian, apabila Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos 1945, proses pembangunan pusat ini yang tergendala seketika kesan pendudukan Jepun, berkembang semula dan latihan anggota baru berjalan semula secara aktif.
British yang ketika itu mengambil alih pengurusan pusat latihan telah menyusun semula strukturnya untuk menjadikan Pulapol sebagai pusat latihan polis terbesar dengan menyediakan latihan asas kepolisan secara teori dan praktikal.
Seramai 29 tenaga pengajar dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang, kaunseling sastera, pengurusan, sains sosial dan komputer diamanahkan untuk memberikan latihan yang berkualiti.
Berteraskan visi menjadikan institusi ini sebagai pusat latihan utama ke arah pembangunan PDRM dan melahirkan pegawai-pegawai yang cekap, cergas serta cerdas Pulapol kini boleh berbangga dengan apa yang telah dikecapi.
Fungsinya kini tertumpu untuk memberi latihan asas kepada pegawai dan anggota polis yang terpilih, supaya dapat berkhidmat dengan cemerlang di dalam pasukan.
Pusat ini juga bertanggungjawab mengendalikan kursus bagi pegawai rendah dan konstabel selaras dengan usaha meningkatkan tahap kecekapan dan kemahiran.
Justeru, peranan utamanya adalah sebagai ejen pertukaran mengubah dan membentuk orang awam agar mempunyai personaliti dikehendaki dalam perkhidmatan polis dengan kebolehan menghadapi segala cabaran dalam apa saja situasi.
Dari semasa ke semasa, peranan Pulapol semakin diakui dan diiktiraf sebagai medan meningkatkan kecekapan dan ilmu pengetahuan setiap anggota polis yang sedang berkhidmat supaya perkhidmatan yang diberikan selari dengan keperluan semasa dan mengikut objektif pasukan.

No comments:

Post a Comment